Sunday, 27 April 2014

Mengenang Widji Thukul




Mengenang Widji Thukul

ketika kawan kawanmu ditindas
ketika kampungmu diceroboh
ketika maruah bangsamu dipijak
kau bangun
susuk yang bernama Widji

suaramu lantang bergema
menyebar ke pelusuk nusantara
sajak dan puisimu keras
tak ada kata kata khayalan dari syurga
kau lontarkan sebuah perlawanan
dalam kesedaran untuk rakyat

kau diteror anjing penguasa
akhirnya sampai matamu buta
tapi mungkin itu sebuah harga
untuk peringatan buat bangsa
tentang sebuah penindasan

kini kau lesap
disaat bangsamu memerlukan
hilangmu tak berjejak
disaat semua berteriak
tentang pemerasan berterusan
aku harap kau kembali, kawan



MANA KEBENARAN

Ahmad terjumpa dompet. Terjumpa pula orang dihadapan. Lalu diberikan dompet itu kepada abu. Abu berada dihadapan ahmad. Si empunya dompet datang mencari dompetnya. Abu menceritakan kepada si empunya dompet bahawasanya dialah yang menjumpai dompet itu dan berkata ahmad cuba mencurinya. Ahmad menafikan. Dia menceritakan hal yang sebenar tetapi tidak dipercayai si empunya dompet.

PERSOALANNYA

Siapa yang benar?

Wajarkah ahmad dipersalahkan?

REALITI

Satu pandangan cuba dilontarkan
Satu pendapat cuba dihebahkan
akibatnya
Satu mata melihat
Satu telinga mendengar
Tangan disorokkan
Mulut memutar belitkan
Bukti di hadapan mata ditolak ke tepi
Golongan bawahan mengiakan
Golongan atasan bersorak riang

Pembohongan mereka masih menjadi.

MANA SATU

Bila tunduk dikatakan kalah
Bila mendongak kepala dipijak
Bila diam mereka ketawa
Bila melawan kita jenayah
Cium tapak kaki bau kaki yang dapat
Bangkit melibas kepala dicantas
Kanan cubit kiri
Bila disuruh mencubit lengannya sendiri
Dia tidak mampu beraksi.

PERSOALANNYA


TENTANG ATAU PATUH?

BANGUN

Mana siang, Mana malam
Atau aku sudah tidak dapat mengenal siang ataupun malam
Hari silih berganti, Jam cepat berlalu
Hari berganti hari pergi pula ke minggu
Lalu bulan menyapa ditelan pula si tahun
Peredaran terus berlalu mengikut sistemnya
Buka celik mata dilihatnya benda yang serupa
Tutup buka mata dilihatnya benda yang sama
Sampai bila mahu jadi begini
Tidak mahukah melakukan sebarang perubahan
Asalkan bukan yang serupa
Tidak mahu beralih arahkah
Atau sengaja membiarkan diri diperbuta
Yang diatas terus mencengkam
Yang dibawah tersungkur di jijak
Yang disana tersenyum ketawa
Yang disini menangis derita
Yang besar semakin leka
Yang kecil tidak akan lupa

Bangun bersama tentangi mereka.

Melayu Nak Jadi Setan

 Rozaidi hari ni tak kerja. Jadi Rozaidi duduk rumah terbaring atas sofa sampai petang. Orang macam Rozaidi tak tahu sangat nak buat apa hari cuti. Duit tak ada, kereta tak ada. Yang ada cuma motor honda bulat buruknya saja. Nak kemana dengan motor tu. Ke pekan saja dah berasap enjin.

Jadi macam dah cakap tadi, Rozaidi tak pergi mana. Duduk rumah baring hisap rokok pandang siling. Rozaidi malas nak bukak televisyen. Alat kawalan jauh pun tak ada. Tak sampai kaki Rozaidi nak tekan punat hidup televisyen. Masya Allah malasnya Rozaidi.

Tengah sedap Rozaidi berangan jadi "Cow Boy" dekat Wild Wild West, dia terdengar bunyi bising dari luar rumahnya. Bunyi macam orang melolong lolong. Ada bunyi macam orang menjerit. Mula Rozaidi ingat lori fun fair lalu depan rumah dia, lepas didengar betul betul bukan lori fun fair. "Rumah orang kampung dah terbakar ke?", getus hati Rozaidi.

Tanpa buang masa Rozaidi bukak pintu rumah dia. Kelihatan orang kampung penuh lari bertempiaran. Ada yang sempat bawak kain bunjut, ada yang lari pakai kain pelikat. Sambil lari mereka menjerit jerit macam orang gila, yang alim sikit sambil 'bang' kuat kuat.  Dalam ramai ramai orang Tuk Ketua pun lari sama.

"Tuk Ketua! Sini!", jerit Rozaidi.

"Di! Lari Di, Lari!!!", laung Tuk Ketua balik. Dalam dengar tak dengar.

"Di lari!! Cepat keluar dari kampung!! Melayu nak jadi setan Di!!!", jerit Tuk ketua sambil lari bawak bunjut kain.

Rozaidi dalam faham tak faham gelabah cari selipar buruknya.

(Bersambung)

Saturday, 26 April 2014

Perlumbaan

Tersebutlah kisah di suatu tempat yang lokasinya agak sukar digambarkan dimana seorang ketua ingin menguji dua orang pekerjanya. Seorang bernama sariman dan seorang lagi bernama sarimin. Ketua tersebut ingin mengadakan pertandingan lawan lari dimana jauhnya kira kira 5km. Sariman dan Sarimin sudah bersedia untuk membuktikan kepada ketuanya siapa lagi hebat.
Apabila tiba waktu yang dinantikan. Ketua tersebut menjerit ‘LARI’. Maka bermulalah perlumbaan itu. Sariman dan Sarimin berlari sepenuh hati. Sampai di pertengahan sariman berhenti dan membiarkan sarimin yang terus berlari. Sariman terjumpa jalan pintas lalu  memasuki sedikit semak dan merentasi lalang. Akhirya, sampai di destinasi yang ditetapkan. Selang kemudian sarimin pula tiba. Jadi ketua mengumumkan pemenangnya ialah sarimin. Sariman disingkirkan kemenangannya kerana tidak patuh pada arahan.

PERSOALANNYA?

Adakah sariman melakukan kesalahan?
Adakah kebijaksanaan sariman itu membuatkan beliau kalah?

Wajarkah sarimin di anggap sebagai pemenang?